MuJaHiDaH

Hidup kita akan didatangi dengan seribu satu perkara. Ada yang menyeronokkan dan ada yang bakal mengguris jiwa. Ada yang terasa enak dan ada yang menyakitkan. Kita sendiri tidak pasti dengan masa depan. Kita melalui satu jalan kehidupan yang tidak ada ruang untuk berpatah balik. Dalam perjalanan singkat inilah kita belajar tentang kehidupan. Dalam setiap kejadian yang berlaku dalam hidup ini, kita mendapat sesuatu yang baru. Dan setiap hari kita menjadi lebih matang.

Jika kita terasa semakin matang dalam kehidupan, apakah yang mematangkan kita? Pernahkah kita merasakan bahawa setiap kali Allah memberikan ujian, Dia ingin membuatkan kita semakin matang? Atau kita sering terlupa akan liku-liku yang telah disusun oleh-Nya sepanjang kita hidup sehingga ke hari ini? Mungkin telah banyak perkara yang kita lalui sepanjang hidup ini, dan banyak lagi yang belum kita terokai.

Kita takkan matang tanpa ujian dan cabaran. Kita takkan berkembang tanpa masalah dan persoalan. Setiap liku yang kita lalui ada permata yang akan kita kutip untuk digunapakai sepanjang perjalanan. Setiap hati yang terguris akan mengenal erti penderitaan dan kesakitan. Daripada situ akan terbina kekuatan. Orang yang pernah merasa susah akan tahu menghargai kesenangan.

Kita seharusnya menerima segala yang terjadi dalam kehidupan sebagai sarana pendidikan jiwa, sebagai jalan tarbiyah Ilahi yang datang bersama kasih sayang untuk hamba-Nya. Selagi kita tidak menyedari bahawa Dia sentiasa ada, selagi itulah kita takkan pernah redha dengan segala yang menimpa kita, dan kita takkan pernah matang dengan apa yang kita lalui. Dan selagi itulah segala ujian yang datang akan terasa perit yang teramat sangat.

Namun, jika kita mula tengadah dan sedar sebelum terhantuk, kita akan merasakan betapa Allah menyayangi kita tatkala kita berhadapan dengan ujian, dugaan dan keperitan. Itulah yang disebut dan diulang dalam surah Al-Insyirah ayat 6, “Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan".

Di sebalik setiap kejadian ada hikmah-Nya, di sebalik setiap ujian ada nikmatnya, bagi orang yang ingin mengerti dan ingin berubah.

Marilah kita mula bertanya kepada diri sendiri, APAKAH YANG MEMATANGKAN KITA?

Wallahu'alam... wassalam...

MuJaHiDaH

Jangan lupa singgah ke Gerai Makanan BAKA
(Produk Halal IWANI)



Sebarang pertanyaan, sila hubungi Mardhiah (013-4074982)
MuJaHiDaH

Pada suatu hari sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumah mereka. Sedang mereka makan, kedengaran pintu rumah mereka diketuk oleh seseorang. Si isteri telah membuka pintu dan dilihatnya seorang lelaki meminta sedekah. Si isteri merasa terharu dan dia bermaksud hendak memberikan sesuatu. Tetapi sebelumnya dia bertanya dahulu kepada suaminya, "Wahai suamiku, bolehkah saya memberikan makanan kepada pengemis ini?"

Alangkah sedihnya hati si isteri apabila mendengar jawapan daripada suami yang dicintai yang telah menjawab, "Tidak usah! Usir saja dia, dan tutup kembali pintu!" Dengan kuasa Allah, pada suatu ketika si suami yang menjalankan perniagaan telah mengalami kerugian yang teruk dan menderita kerana banyak hutang, sehingga rumahtangga mereka porak peranda.

Akhirnya rumahtangga mereka musnah akibat berlaku perceraian. Tidak lama setelah itu bekas isterinya berkahwin lagi dengan seorang pedagang di kota. Dikisahkan, pada suatu hari ketika ia sedang makan bersama suaminya (yang baru), tiba-tiba ia mendengar pintu rumahnya diketuk orang. Setelah dibuka pintu ternyata tamu tak diundang itu adalah seorang pengemis yang sangat mengharukan hati wanita itu.



Maka wanita itu berkata kepada suaminya. "Wahai suamiku bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis ini?" Suaminya menjawab, "Berilah makan kepada pengemis itu." Setelah memberi makanan kepada pengemis itu isterinya masuk ke dalam rumah sambil menangis. Suaminya dengan perasaan hairan bertanya kepadanya, "Mengapa engkau menangis? Apakah engkau menangis kerana saya menyuruhmu memberikan daging ayam kepada pengemis itu?"
Wanita itu menggelengkan kepalanya, lalu berkata dengan nada yang sedih dan sambil terisak-isak menahan tangis, "Wahai suamiku. saya sedih dengan perjalan takdir yang sungguh menakjubkan hatiku. Tahukah engkau siapa pengemis yang ada di luar itu? Dia adalah suamiku yang pertama dahulu." Mendengar keterangan isterinya sedemikian, sang suami sedikit terkejut, tetapi segera ia pula bertanya "Dan tahukah engkau siapa saya yang kini menjadi suamimu ini. saya adalah pengemis yang dulu diusirnya...!"

Begitulah kisahnya, saudara-saudaraku, maka berikan sesuatu itu kepada yang haqnya. Usahlah suka menghina dan mencaci sesama kita, terutama yang kurang bernasib baik. Allah itu MAHA KUASA.

Petikan dari http://sekilasmemoir.blogspot.com/


p/s : Sebelum pergi kuliyyah, ana terbaca kisah ini hingga menyentuh hati ana dan sedih membaca cerita ini, Alhamdulillah dapat juga kongsikan dengan sahabat2. Peringatan untuk diri sendiri dan semua, jadilah manusia pemurah dan penyanyang sesama kita. "Rezeki milik Allah SWT"

Wallahu'alam... Wassalam...

MuJaHiDaH

Hari ini Sabtu, 10 Julai 2010 bersamaaan dengan 27 Rejab 1431 hijiriah, adalah satu tarikh penting dalam sejarah Islam di mana umat Islam akan memperingati satu peristiwa agung iaitu Israk Mikraj.

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.

Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."


Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."


Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."


Jibrail A.S. bertanya, "Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"

Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah Buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."


Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya.

Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."


Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Wallahu'alam.. Wassalam...